03 Ogos 2009

Pertandingan Debat Antara Kolej Kediaman UDM Piala Dekan HEPA UDM Kali Ke-1

Pada 30 Julai hingga 2 Ogos 2009, satu pertandingan debat yang dikenali sebagai Pertandingan Debat antara Kolej Kediaman UDM Piala Dekan HEP UDM kali Pertama telah diadakan di sekitar kawasan kolej Kediaman C. Konsep perdebatan kali ini agak unik kerana dianjurkan secara terbuka. Tahniah diucapkan kepada ajk pelaksana debat antara kolej kediaman UDM kali pertama.

Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur kerana memberi kepercayaan kepada beberapa orang ahli DEMI UMT untuk menghakimi perlawanan debat untuk kali ini. Sesungguhnya kami telah mengadili dan menghakimi setiap persidangan dengan adil dan saksama berlandaskan kapasiti dan pengalaman yang dimiliki.

Pertandingan debat kali ini berdasarkan konsep terbuka yang diadakan di kafe

Pelbagai kejadian dan gimik yang berlaku disepanjang pertandingan kerana setiap pasukan sedaya upaya untuk menonjolkan kemampuan mereka untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pendebat-pendebat senior yang jauh lebih berpengalaman. Kami dapat lihat UDM mempunyai ramai bakat-bakat baru yang perlu untuk diketengahkan oleh pihak Kelab Orator UDM untuk mencuba nasib mewakili UDM ke Pertandingan anjuran MADUM dimasa depan. Mereka perlu diasuh dan diasah supaya persembahan mereka lebih tajam dalam menjalankan portfolio-portfolia yang dipertanggungjawabkan.

Selain itu, keputusan pasukan yang layak mara ke Peringkat Akhir juga agak mengejutkan. Tak disangka-sangka Pasukan yang dijangkakan akan ke Peringkat Akhirtersungkur di Peringkat Separuh Akhir. Namun, keputusan yang mengejutkan itu mungkin masuk akal memandangkan pasukan yang layak mara keperingkat seterusnya bukan dilihat berlandaskan kehebatan dan kepetahan mereka berbicara atau khabar-khabar angin yang mengiyakan kehebatan mereka beraksi semasa mewakili UDM kepertandingan Debat anjuran MADUM, tetapi keputusan dibuat berlandaskan kepada kemampuan mereka mendirikan atau membangkang kes perdebatan pada masa perlawanan berlangsung. Sebagai hakim, kami telah sedaya upaya untuk mengikut garis panduan penghakiman dan setiap keputusan adalah keputusan muktamad individu hakim tanpa dipengaruhi oleh orang lain.

Peringkat Akhir, Usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Kerajaan adalah " 1Malaysia Pemangkin Pembentukan Negara Bangsa". Pada awalnya pendebat berjaya untuk membuka konsep dengan baik, namun mereka gagal untuk mencirikan frasa pemangkin itu yang bagaimana. Pencirian itu perlulah melihat kepada ciri-ciri yang dimiliki oleh "pemangkin" iaitu mempercepatkan. Namun mereka telah memberatkan perdebatan dengan mengkonsepkan pemangkin itu sebagai penggerak. Maknanya mereka juga perlu untuk mendefinisikan apa itu sebenarnya penggerak dalam konsep pembawaan kerajaan. Kerajaan juga gagal untuk mencirikan negara bangsa itu yang bagaimana. Adakah kita ingin melihat konsep negara bangsa Indonesia yang mana semua rakyat Indonesia di"indonesia"kan? maknanya disana, tiada istilah cina, tiada istilah india, Apabila anda lahir dan merupakan rakyat Indonesia, secara automatik anda dikenali sebagai Bangsa Indonesia.

Pembangkang pula gagal untuk meragukan kes kerajaan. Mereka hanya gemar mengeluarkan perkataan-perkataan "gimik" tetapi sebenarnya tak gimikpun. Walaubagaimanapun, mereka masi muda dalam dunia perdebatan, maka kesilapan itu boleh dimaafkan. Pembangkang juga gagal untuk mendirikan kes bangkangan mereka. Sepanjang perdebatan, acapkali berlaku kesilapan fakta kes a.k.a penipuan fakta kes. Perkara ini sebenarnya adalah perkara biasa dalam perdebatan andaikata pada waktu tersebut sesebuah pasukan tidak mempunyai langsung fakta kes. Namun untuk perlawanan peringkat akhir, adalah mendukacitakan sekiranya penipuan fakta kes masih berlaku.

Secara keseluruhannya, tahniah diucapkan kepada pasukan Mat Kilau yang berjaya merangkul gelaran Johan Debat Antara Kolej Kediaman kali-1 ini. Kepada pasukan Tok Gajah, anda perlu lebih berusaha untuk merebut kejuaraan pada masa hadapan. Yang pasti, kesemua pendebat menunjukkan potensi untuk menjadi pendebat yang baik dan berkualiti.

Pasukan Mat Kilau yang menjuarai pertandingan

Harapnya, selepas ini pasukan debat UMT turut memberikan persembahan dan semangat perdebatan yang tinggi. Semoga kita sama-sama berjaya meletakkan diri dalam kalangan IPT Malaysia yang unggul dalam arena perdebatan. Sekian.

Credit: aliashim-albani.blogspot.com

p/s: untuk gambar, klik SINI

Tiada ulasan: