29 Mac 2008

Perlantikan Menteri Besar Terengganu penuh kontroversi.

Perlantikan Menteri Besar Terengganu seperti yang umum memaklumi telah menjadi satu tanda tanya untuk bebrapa ketika. Namun, apabila perlantikan telah dibuat, sewaktu majlis pertabalan, satu mogok telah berlangsung demi menyatakan sokongan terhadap bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sebelum itu, dikatakan, 22 ahli DUN Terengganu telah bersatu hati dan suara untuk memboikot pertabalan Menteri Besar Terengganu yang telah berlangsung di Istana Maziah, Kuala Terengganu. Rasional bangkangan keputusan perlantikan Menteri Besar adalah kerana BArisan Nasional (BN) telah memenangi 2/3 kerusi di negeri tersebut. Manakala, pertikaian terus berlanjutan mengenai kuasa penamaan Menteri Besar Terengganu.

Turut dilaporkan, kononnya BN/UMNo sendiri tidak berdaya menyelesaikan kemelut perlantikan bagi negeri Terengganu ini sehingga bantuan kenyataan dari peguam negara diperlukan bagi menjelaskan kekeliruan. Selama ini, tidak pernah sejarah mencatatkan berlaku kemelut politik dan kuasa seperti ini sebelum ini. Peguam negara, Datuk Abdul Ghani Patail turut dipetik berkata:


Pelantikan Menteri Besar Terengganu dibuat oleh Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja menurut Perkara 14(2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Dalam hal ini, calon yang layak dilantik sebagai Menteri Besar hendaklah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu yang pada fikiran Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja boleh mendapat kepercayaan kebanyakan ahli Dewan tersebut.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyedari sepenuhnya tentang peruntukan tersebut dan bahawa Baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar. Ini adalah kerana menurut perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali fungsi sebagai Ketua Agama Islam.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon Baginda sendiri bagi jawatan Menteri Besar. Baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, dan baginda tidak mempunyai apa-apa peranan di bawah undang-undang dalam pelantikan tersebut.

Dalam soal pemilihan Menteri Besar, Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja adalah terikat dengan peruntukan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu dan sesiapa jua daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu yang pada fikiran Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja mendapat kepercayaan kebanyakan ahli Dewan tersebut hendaklah dilantik.

Dalam hal yang sedemikian, mana-mana orang yang dilantik sebagai Menteri Besar bukanlah calon Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja atau sesiapa jua tetapi seorang yang dilantik menurut Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Oleh kerana itu dalam hal pelantikan Menteri Besar, tidak berbangkit isu perebutan antara Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja pada satu pihak dengan Kerajaan Negeri pada satu pihak lain. Proses pelantikan Menteri Besar merupakan satu proses yang ditentukan oleh Undang-Undang sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.



Walaup apa pun yang diperkatakan, nampaknya, Majlis Penasihat Pemangku Sultanm Terengganu telahpun membuat keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Dengan melantik Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. Disebalik kenyataan berani ahli DUN Terengganu yang akan meletak jawatan jika Datuk Seri Idris Jusoh tidak dilantik, boikot semasa majlis pertabalan, dan kenyataan "tidak kisah" Datuk Seri Idris Jusoh, akhirnya, yang terpilih sudah dipilih oleh yang layak memilih. Jadi, apa pandangan kalian? Siapakah yang berkuasa untuk melantik Menteri Besar? Apakah beza kuasa Sultan dan Parti?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Percayalah, tidak akan wujud keamanan jika pihak yang bermain politik hanya untuk kepentingan diri sendiri. Menurut Socrates, politik ibarat hanyalah seekor binatang. Politik boleh dipermainkan untuk kepentingan diri sendiri. Namun, apa yang harus difikirkan di kancah politik sekeliling kita adalah, sejauh mana kejujuran seseorang itu untuk memimpin? Bukan setakat itu sahaja, kita perlu juga untuk memikirkan sejauh mana kejujuran penyokong pemimpin tersebut dalam sokongannya. Tidak hairanlah jika ramai yang akan menjadi seperti lalang dalam politik. Saya tidak berminat untuk mengutarakan pendapat terhadap politik di Terengganu secara langsung kerana itu masih diluar cakupan pengetahuan saya. Tapi apa yang menarik kini, surat khabar semakin sukar untuk dibeli terutama hari ahad. Adakah PRU-12 telah berjaya membangkitkan kesedaran masyarakat untuk lebih cakna kepada negara?